Hukum Mengerjakan Haji dengan Mengupah Orang Lain

Soalan:
Bolehkah seseorang yang sakit (tidak boleh berjalan) mengerjakan haji dengan cara mengupah seseorang untuk mengerjakan haji bagi pihaknya?

Fauziah, KL

Jawapan:
Orang yang lemah keadaannya seperti sudah terlalu tua atau uzur sakit yang berat dan tidak dapat pergi sendiri untuk menyempurnakan fardhu Haji, maka diharuskan ia menyuruh orang lain mengerjakan Haji bagi pihak dirinya, samada dengan sukarela ataupun dibayar upahnya.

Begitu juga jika orang itu meninggal dunia tetapi belum dapat menunaikan fardhu Haji semasa hidupnya, maka harus juga hukumnya bagi orang yang hidup mengerjakan Haji atasnya, samada dengan sukarela atau diupah.

Menunaikan Haji bagi Si mati
Soalan:
Kalau seseorang itu telah meninggal dunia tetapi dia belum sempat menunaikan haji, adakah wajib warisnya menggunakan wang simpanan kwsp arwah simati untuk menunaikan haji secara wakil. Ini adalah setelah semua hutang-hutang arwah simati dibayar?

Jaafar, KL

Jawapan:
Apabila seseorang itu meninggal dunia harta peninggalannya tergantung kepada lima perkara mengikut turutan. Pertama digunakan untuk menyelesaikan urusan jenazahnya. Kedua menyelesaikan gadaian atau harta yang dipinjamnya dari orang lain. Ketiga membayar hutang si mati samada hutang kepada manusia mahupun hutang kepada Allah SWT. Menunaikan wasiat si mati, jika beliau ada berwasiat. Kelima membahagikan harta pusaka kepada waris-waris si mati.

Oleh itu jika si mati masih belum menunaikan fardu haji sedangkan ia telahpun mempunyai kemampuan berbuat demikian, maka wajiblah diwakilkan kepada orang lain supaya menunaikan fardu haji bagi pihaknya dengan syarat pihak yang menjadi wakil itu telahpun menunaikan fardu haji. Seorang perempuan dari Khas'am pernah bertanya Rasulullah SAW tentang kedudukan ayahnya yang sudah tua yang tidak mampu lagi menunaikan fardu haji, adakah beliau boleh menunaikan fardu haji bagi pihaknya.

Ujar baginda SAW: Ya; (Hadis ini dikeluarkan oleh malik, Asy-Syafii, Asy-Syaikhain, Abu Dawud Dan Nissa'i). Dalam sebuah hadis yang lain menjelaskan seorang perempuan bertanya Rasulullah SAW tentang ibunya yang bernazar hendak menunaikan fardu haji tetapi belum sempat ia berbuat demikian, ia sudah meninggal, adakah boleh ia menunaikan fardu haji untuk ibunya itu. Rasulullah SAW memberi kebenaran kepada perempuan itu berbuat demikian.

Sehubungan dengan itu anda boleh mengeluarkan wang KWSP ayah anda untuk digunakan bagi menunaikan fardu haji bagi pihak ayah anda, kerana ibadat haji itu dikira hutang dengan Allah yang mesti dilangsaikan terlebih dahulu, kemudian yang selebihnya hendaklah dibahagikan sebagaimana dalam sistem pembahagian pusaka.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Hukum Mengerjakan Haji dengan Mengupah Orang Lain"

Post a Comment