Petuah Kejayaan Hidup

Saudara/i
Jika seorang jutawan memberi anda satu juta, apakah yang anda akan lakukan untuk menyatakan terima kasih anda terhadapnya? Jika jutawan tersebut berkata lagi, saya akan memberi anda satu juta lagi pada masa akan datang, bagaimana pula perasaan anda dan apakah tindakan anda terhadapnya untuk menyatakan terima kasih anda yang tidak terhingga kepadanya? Adakah anda akan menuruti segala kehendak dan arahannya? Adakah anda akan coba sedaya upaya untuk menjaga hati dan perasaan jutawan tersebut supaya tidak tersinggung melihat sebarang perbuatan anda terhadapnya? Apa lagi yang akan anda lakukan, nyatakanlah dengan seikhlasnya.

Saudara/i
Tahukah anda di sana ada jutawan yang Maha Kaya yang memiliki dunia ini? Jutawan yang telah menganugerahkan kepada anda mata untuk melihat, menganugerahkan anda telinga untuk mendengar, menganugerahkan anda tubuh bada untuk anda menikmati hidup ini dan menganugerahkan anda pelbagai lagi nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Adakah anda kenal jutawan tersebut? Jika anda kenal akan jutawan tersebut, apakah yang anda lakukan untuk mendapat keredhaanNya?

Saudara/i
Jutawan tersebut ialah Allah Yang Maha Berkuasa yang telah mencipta anda dan apa yang ada disekeliling anda. Tidakkah anda suatu masa dahulu hanyalah setitis air mani yang tidak mempunyai sebarang nilai? Tetapi sekarang anda adalah seorang manusia yang mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan. Adakah anda sendiri telah mencipta diri anda sendiri yang sebegini hebat atau ia adalah semata-mata anugerah yang tidak ternilai yang telah diberikan oleh Yang Maha Pemurah Dan Berkuasa kepada anda? Adakah nikmat yang sedang anda nikmati ini boleh dinilaikan dengan harga? Adakah jutawan yang memberi anda sejuta lebih mulia dan hormati daripada Allah Yang Maha Pemurah yang telah menganugerahkan kepada semua nikmat ini dengan tanpa meminta bayaran pun? Adakah keredhaan jutawan tersebut lebih anda utamakan daripada keredhaan Allah Yang Maha Berkuasa?

Saudara/i
Apakah solat lima waktu menjadi beban hidup anda? Apakah menutup aurat merupakan bala kepada kehidupan anda? Apakah untuk anda belajar mengenali Allah dan mengetahui segala perkara yang memberi keredhaan serta kemurkaan Allah menjadi kesusahan hidup anda? Adakah dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah merupakan satu kezaliman kepada hidup anda? Apakah dengan menjauhkan perkara yang diharamkan oleh Allah merupakan penyebab kepada kegagalan hidup anda? Jika jawabannya 'Ya' maka mampukah anda memulangkan semua nikmat yang sedang anda cicipi ini kepada Allah.

Saudara/i
Tidakkah wajar kita mentaati semua perintah Allah yang sentiasa memberi kita nikmat ini setiap hari sehingga kita mati? Tidakkah wajar kita bersyukur kepada Allah yang menjanjikan nikmat yang berganda-ganda di dalam syurga kepada orang yang mentaatiNya? Tidakkah wajar kita belajar mengenali Allah dan segala tuntutan agamaNya selepas Allah dengan rahmatnya yang luas akan mengampunkan semua dosa serta kesalahan hambanya yang bertaubat? Tidakkah kita rasa bertuah kerana menjadi menjadi orang Islam yang mengenali Allah?

Saudara/i
Segeralah kembali kepada Allah sebelum nyawa melepasi kerongkong karena masa tersebut taubat tidak lagi diterima. Segeralah jauhi perkara yang menjadi kemurkaanNya dan laksanakanlah segala suruhannya sebelum datang waktu di mana penyesalan tidak memberi sebarang faedah lagi kepada anda. Segeralah belajar mengenali Allah dan agama yang diredhaiNya itu sebelum anda kembali menemui Allah.

Saudara/i
Mintalah hidayah dan kekuatan daripada Allah untuk melaksanakan semua kewajiban kerana kedua-duanya itu pun adalah anugerah Allah yang diberikan kepada mereka yang benar-benar ikhlas niatnya serta bersungguh-sungguh di dalam perjuangannya.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Petuah Kejayaan Hidup "

Post a Comment